Hadis: Sifat taksub harta, boros dikeji
DARIPADA Jabir, katanya, Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang diberi suatu pemberian, maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila meninggal menjadi milik keturunannya.”
Harta sebagai salah satu amanah yang diberikan oleh Allah kepada umat manusia harus disyukuri dengan cara membelanjakannya ke jalan yang diperintah oleh agama. Itulah bekalan amalan yang akan dibawa di akhirat kelak.
Keserakahan akibat daripada terlalu cinta terhadap harta akan menjadikan seseorang itu mendapat kemurkaan daripada Allah. Perkara ini seperti yang berlaku terhadap Qarun yang ditelan bumi bersama-sama dengan harta yang dimilikinya.
Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata. Allah boleh mengubahnya daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.
Perkara buruk seperti suka berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja dibenci oleh Allah.
Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat terdahulu.
Pembaziran harta juga disebut sebagai memusnahkan harta benda sama ada secara sedar atau tidak. Perkara ini seperti mengabaikan ternakan dan tanaman. Begitu juga tidak menjaga makanan hingga musnah dan tidak boleh dimakan; membiarkan pakaian kotor hingga cepat luntur; tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri hingga cepat rosak dan sebagainya.
Balik Ke Hal Ehwal Ugama.
Balik Ke Muka Depan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home